Bengkak Payudara
- Bengkak payudara bermakna payudara terlalu penuh , sebahagiannya dengan susu dan sebahagiannya lagi disebabkan oleh peningkatan cecair tisu dan darah yang mengganggu pengaliran susu. Payudara kelihatan berkilat, keras, tegang , sakit dan susu tidak mengalir.
- Apabila susu mula mengalir banyak, pengaliran darah akan meningkat ke payudara sama seperti pengaliran susu. Payudara akan berasa hangat, penuh dan berat. Ini menunjukkan payudara penuh.
- Untuk mengurangkan payudara yang penuh, susui bayi secara kerap dan lakukan tuaman sejuk sewaktu bayi tidak menyusu. Dalam beberapa hari, payudara akan menyesuaikan penghasilan susunya mengikut keperluan bayi.
- Jika susu tidak dikeluarkan, saluran susu, darah dan sistem limfatik akan menjadi padat dan berhenti mengalir dan akhirnya menyebabkan bengkak . Payudara akan terasa panas, keras, sakit, tegang dan berkilat. Puting pula menjadi tegang dan leper. Ini akan menyebabkan bayi sukar untuk melekap dan akhirnya puting akan luka.
- Jika bengkak payudara berterusan, bahan penghalang penghasilan susu (feedback inhibitor) akan mengurangkan penghasilan susu ibu.
Pengendalian Bengkak Payudara
- Bantu ibu mengurangkan bengkak dengan mengeluarkan susu daripada payudara ini dapat:
- Mengurangkan ketidakselesaan ibu
- Mengelak komplikasi seterusnya seperti radang payudara (mastitis) dan bengkak bernanah
- Membantu untuk memastikan penghasilan susu berterusan
- Memastikan bayi boleh menerima susu ibu
- Periksa pelekapan : Adakah bayi melekap dengan betul pada payudara. Jika tidak :
- Bantu ibu untuk melekapkan bayi pada payudara dengan sebaiknya untuk mengeluarkan susu
- Cadangkan pada ibu untuk memerah sedikit susu terlebih dahulu sebelum bayi menyusu untuk melembutkan areola. Ini akan memudahkan bayi untuk melekap.
- Jika dengan menyusu tidak dapat mengurangkan bengkak, nasihatkan ibu memerah susu di antara waktu penyusuan untuk beberapa kali sehingga ibu rasa lebih selesa
- Galakkan penyusuan yang lebih kerap : Jika penyusuan dihadkan, galakkan ibu menyusu bayinya pada bila-bila masa dan seberapa lama yang bayi mahu.
- Lakukan tuaman suam (tuala lembap) pada areola sebelum menyusu untuk meransang pengaliran susu. Mandi air suam boleh merangsang pengaliran susu.
- Urutan leher dan belakang badan atau lain-lain teknik yang menenangkan juga boleh merangsang pengaliran susu.
- Bantu ibu untuk lebih selesa. Ibu mungkin perlu mengampu payudaranya jika besar
- Beri sokongan dan bina keyakinan ibu dengan menerangkan bahawa bengkak payudara akan sembuh tidak lama lagi.
- Tuaman sejuk boleh mengurangkan kesakitan pada payudara sewaktu bayi tidak menyusu
No comments:
Post a Comment